Kalau ikutkan lepas solat subuh aku nak buat umrah, tapi disebabkan nak pergi melawat, kami batalkan niat tu. Lagi pun agenda kami hari ni akan meawat ke Ji'ranah di mana kat sini jemaah boleh bermiqat untuk menunaikan umrah.
Jadi kami ambil keputusan bermiqat kat Ji'ranah
Sebenarnya kalau boleh famili kami taknak buat umrah waktu siang. Salah satu sebab kami bawak warga tua,kesiankan diorang dok bawah panas terik. Lagi satu, ikut dari pengalaman mak ayah aku yang pernah tunaikan haji, dulu diorang dah pernah cuba buat umrah selepas Subuh,selepas zuhur,selepas Asar, selepas Isyak dan sebelum subuh. Dan diorang dapat rasa kalau buat sebelum subuh, kurang penat sikit. Lagi pun,lepas subuh kita boleh rehat & tidur kejap dan sempat pergi solat berjemaah kat Masjid.
Keadaan depan hotel pagi tu.Ramai jemaah menunggu bas depan hotel untuk program ziarah.
Mak dengan ayah mungkin ade penyakit tak nak tengok kamera kot.Memang kebanyakan gambar diorang tak pandang kamera,lagi-lagi ayah aku. Yang gambar belah kanan tu lagi la, tok aku memang taknak pandang camera langsung.
Okey, hari ni kami akan melawat Jabal Tsur dan akan melalui Jabal Nur yang letaknya Gua Hira', Padang Arafah serta Muzdalifah yang merupakan salah satu tempat untuk para jemaah haji menunaikan rukun haji. Kemudian kami akan ke Ji'ranah untuk bermiqat di sana.
Dah sampai di kawasan Jabal Tsur , kat sini aku tengok ramai bas-bas jemaah yang datang untuk aktiviti ziarah. Disebabkan terlalu ramai, kami cuma turun sekejap je dan mutawif pun tak menggalakkan kami mendaki ke Gua Tsur dan Gua Hira' sebab lebih elok tenaga tu disimpankan untuk buat umrah. Kalau nak panjat jugak, boleh kumpul beberapa orang dan datang sendiri dalam group untuk mendaki.
Kami pun sebenarnye taknak mendaki,cukup le sekadar melihat kawasan-kawasan yang menjadi bukti peristiwa besar dalam agama Islam ni.
* Jabal Tsur dan Jabal Nur terletak di dua tempat berlainan. Untuk Jabal Nur kami tak turun, cuma lalu je dan tengok Gua Hira' dari jauh.
Jabal Nur
Jabal Nur ini terletak bahagian utara Mekah, sekitar 5 km dari Masjidil-Haram. Di sinilah menjadi titik tolak perjuangan Nabi Muhammad SAWmengembangkan agama Islam. Jabal bermaksud bukit,manakala Nur bermaksud cahaya. Di puncak Jabal Nur terletaknya Gua Hira' di mana wahyu pertama diturunkan di sini ke atas Nabi Muhammad SAW oleh Malaikat Jibril.
Di Gua Hira' inilah Nabi Muhammad SAW sering bertafakur dan berdiam diri mengenangkan nasib kaumnya yang waktu itu itu hidup di zaman jahiliah. Muhammad (waktu ni belum diangkat menjadi rasul) sering menjauhkan diri dari kaumnya yang mengamalkan cara hidup yang jahil seperti penjualan hamba, mengamalkan riba, menyembah berhala, menindas kaum wanita dan banyak lagi.
Setelah berumur 40 tahun, pada 17 Ramadhan turunlah Malaikat Jibril menyampaikan wahyu (yang juga merupakan ayat Al-Quran pertama diturunkan) iaitu ayat [Al 'Alaq 1-5] yang berbunyi:
Bacalah dengan (menyebut) nama TuhanMu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan tuhanmu Yang Maha Mulia, Dzat yang mengajar (kepada manusia) dengan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa-apa yang mereka belum mengetahuinya (Al-Qur’an surat Al-’alaq/96 ayat 1-5)
Kemudian Baginda pulang dengan keadaan menggigil dan diselimutkan oleh isteri kesayangannya, Khatijah.
*Sekarang kita menyambut peristiwa ini sebagai Nuzul Al-Quran. Tapi umat Islam kat Malaysia ni kebanyakannya cuma tahu cuti umum je tanpa tahu sejarah dan kepentingan peristiwa ini.
Selepas peristiwa itu, Baginda mula berdakwah secara senyap-senyap iaitu cuma di kalangan kaum keluarga dan sahabat terdekatnya sahaja.
Selepas 3 tahun turunlah perintah dari Allah SWT yang menyuruh Nabi Muhammad SAW mengembangkan agama Islam secara terang-terangan. Di waktu inilah bermulanya tentangan hebat dari kaum kafir Quraisy yang menyeksa sahabat-sahabat baginda yang beragama Islam.
Selepas *Tahun Kesedihan, baginda mula merangka untuk berhijrah ke Madinah (waktu tu dikenal sebagai Yathrib) kerana pernerimaan ajaran Islam di kalangan penduduk Madinah amat terbuka dan mereka sememangnya menantikan kehadiran Nabi Muhammad SAW ke tempat mereka.
*Tahun kesedihan dikenali oleh umat Islam kerana pada tahun ini Nabi Muhammad SAW telah kehilangan dua orang insan yang amat disayangi baginda iaitu isterinya, Saidatina Khatijah dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Pada tahun ini juga umat Islam di Makkah menghadapi ancaman dan tentangan hebat dari kaum musyirikin Makkah. Atas peristiwa inilah mendorong terjadinya peristiwa Hijrah ke Madinah.
Jabal Tsur
Jabal Tsur terletak kira-kira 6km dari Masjidil haram. Di sinilah terletaknya Gua Tsur yang menjadi saksi persembunyian Nabi Muhammad SAW dan sahabat kesayangan baginda, Abu Bakar As-Siddiq sewaktu peristiwa Hijrah.
Gua Tsur mempunyai dua pintu, di sebelah barat dan timur. Pintu di sebelah barat digunakan Nabi untuk masuk sedangkan di sebelah timur sengaja dibuat bagi memudahkan pengunjung keluar masuk ke dalam gua.
Ceritanya bermula sebelum Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar r.a berangkat untuk hijrah ke Madinah, baginda tidur di rumah pakciknya, Abu Talib. Waktu tu, rumahnya telah dikepung oleh orang kafir Quraisy untuk membunuh baginda. Tapi atas pertolongan Allah SWT, mereka tertidur dan Nabi Muhammad SAW dapat keluar dari rumahnya tanpa halangan dan terus menuju ke satu tempat di mana Abu Bakar r.a menunggunya.
Mereka kemudian menuju ke arah berlawanan dari Madinah iaitu Jabal Tsur yang terletak menghala ke Yaman bagi menghindari orang kafir yang mengejar mereka.
Apabila di dalam gua, Allah SWT memberi pertolongan dengan mengutuskan para malaikat membuat sarang labah-labah untuk menutup pintu gua, hingga orang kafir tersebut yang tiba di mulut gua yakin bahawa tidak mungkin baginda bersembunyi di situ.
Di sinilah juga, sahabat baginda, Abu Bakar r.a menutup lubang gua dengan tapak kakinya sedangkan pada waktu itu beliau memangku Rasulullah SAW yang sedang tidur. Pada waktu itu, tapak kakinya telah dipatuk ular berbisa, tapi beliau bertahan bagi melindungi Rasulullah SAW. Disebabkan terlalu sakit, air matanya mengalir hingga menitis atas wajah Rasulullah SAW dan baginda tersedar. Setelah mengetahui kaki sahabatnya itu dipatuk ular, baginda telah menggunakan air liurnya sebagai penawar pada bisa ular tersebut.
Setelah 3 hari bersembunyi di Gua Tsur, mereka keluar setelah salah seorang sahabat mereka membawa dua binatang kenderaan yang diminta oleh Abu Bakar dan mereka menuju ke Madinah Al-Munawwarah dan peristiwa ini dikenali sebagai Hijrah di mana tahun bermulanya kalendar umat Islam.
Terdapat enam orang sekeliling baginda yang terbabit melindungi baginda dalam peristiwa hijrah ini iaitu
1) Asma binti Abu Bakar yang ditugaskan menyiapkanserta menghantar bekalan makanan sewaktu Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a bersembunyi di gua ini.
2)Ali bin Abi Talib (sepupu baginda) yang menyamar di tempat tidur Rasulullah SAW ketika orang kafir Quraisy menyelinap masuk ke rumahnya untuk membunuh baginda.
3) Abdullah bin Abu Bakar ditugaskan memberi maklumat tentang pergerakan kaum musyirikin Mekah.
4) Amir bin Fahirah ditugaskan menghilangkan jejak-jejak kenderaan yang dipakai oleh baginda dan sahabatnya Abu Bakar r.a.
5) Abdullah bin Uraiqith bertugas sebagai penunjuk jalan mereka ke Madinah.
6) Abu Bakar As-Siddiq yang merupakan sahabat setia Rasulullah hingga ke akhir hayat baginda.
Jabal Tsur dari kejauhan. Aku cuba bayangkan anak Abu Bakar r.a Asma binti Abu Bakar yang mengikat bekalan
makanan di pinggangnya dan memanjat Jabal Tsur yang tinggi itu untuk
menyampaikan bekalan makanan kepada Nabi Muhammad SAW dan bapanya ketika bersembunyi di gua ini.
Sangat beruntung insan-insan ini yang berpeluang membantu Nabi Muhammad SAW mengembangkan agama Islam di waktu ini seperti yang kita tahu terlalu hebat tentangan yang diperolehi dari kaum musyrikin Makkah.
Kemudian kami dibawa ke Padang Arafah di mana di sinilah umat Islam menunaikan salah satu rukun Haji. Padang Arafah sememangnya amat lengang kalau bukan musim haji. Tapi bila tibanya 9 Dzulhijjah, tempat ni akan dipenuhi umat Islam yang datang dari segenap lapisan umat Islam seluruh dunia.
Waktu ni la mak aku asyik bercerita macam mana dia tunaikan haji tahun 1998. Waktu tu kemudahan untuk jemaah tak secanggih seperti yang ada sekarang seperti khemah beraircond. Time ni la betul-betul menguji kesabaran umat Islam sama ada sabar atau tidak bertahan di bawah cuaca panas.
Padang Arafah, Mudzalifah
Padang Arafah waktu aku ziarah adalah padang jarak padang terkukur. Tapi bila tiba musim haji, tempat ni akan penuh dengan jemaah haji.
Jemaah haji akan wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika tidak, hajinya tidak akan sah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Haji adalah (wukuf) di Arafah." Ketika berada di Arafah pada 9 Zulhijjah, jemaah perlu memperbanyakkan doa, berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainnya.
Alhamdulillah, awk dapat ke Mekah masa muda2 lagi.. HOpefully saya pun dapat ke sana dalam masa terdekat ni..
ReplyDelete